Apakah Hukum Memasukkan Air di Saluran Darah Ketika Berpuasa?

Soalan:

"Assalamualaikum Ustaz. Saya ingin bertanya, apakah sah puasa seseorang itu jika dia memasuk air dalam salur darah ketika menerima rawatan?"



Jawapan:

Tidak. Kita perlu bezakan saluran-saluran yang ada di badan kita. Yang membatalkan puasa ialah apabila kita memasukkan sesuatu ke rongga dalam badan (iaitu rongga halqum ke perut, rongga kepala (otak), usus dan pundi kencing) melalui saluran yang terbuka di badan. Yang dimaksudkan saluran terbuka pada badan itu ialah mulut, telinga, hidung, kemaluan/faraj dan dubur .

Oleh yang demikian, memasukkan sesuatu ke dalam badan dengan suntikan melalui urat atau saluran darah, menyuntik ke bawah kulit atau ke dalam daging badan, tidak membatalkan puasa sama ada suntikan itu untuk tujuan pengubatan, taghziyah (iaitu memberi makanan seperti menyuntik vitamin, memasukkan air, kalsium dan sebagainya) atau membius. Ini adalah pandangan yang disepakati oleh imam-imam mazhab empat. Pandangan ini juga turut dikemukakan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Namun ada setengah ulama’ zaman ini mengecualikannya dari suntikan makanan iaitu jika yang disuntik itu adalah bahan-bahan makanan seperti glukos atau sebagainya, maka batallah puasa kerana ia sama sahaja seperti makan atau minum.


Rujukan:

- Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 434.
- 1000 Sualan wa Jawaban Lil-Mar-ah al-Muslimah, Mustafa Abu al-Ghait dan Islam Dirbalah, hlm. 100.

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

0 comment... add one now