Pensyarah Mat Saleh yang Mengkaji Islam Akhirnya Peluk Islam

Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dari United Kingdom, Terry Fa’iz Kenneth Brougham akhirnya telah memilih jalan Islam setelah sekian lama mempraktikan amalan-amalan seorang muslim dalam kehidupan seharian beliau.

Sudah puluhan tahun beliau mempraktikan ibadat-ibadat Islam termasuk berpuasa pada Ramadan dan hanya makan makanan yang halal kerana disifatkannya amalan baik dan sihat.
Beliau mempelajari Islam melalui pembacaan buku dan internet serta bertukar pandangan dengan beberapa rakannya.




Terry Fa’iz yang tinggal di negara Malaysia sejak 16 tahun lalu juga tertarik dengan corak kehidupan di Malaysia dan menanam impian untuk menjadi seorang Islam.

“Sebelum ini, saya seorang Kristian tetapi pegangan tidak kuat. Saya tinggal lama di Malaysia dan mendapati gaya kehidupan umat Islam sangat berbeza dengan kehidupan asal saya dan ianya amat bagus dan sempurna."

“Sejak dulu, saya dapat merasakan bahawa suatu hari nanti saya akan menjadi orang Islam,” katanya yang akhirnya menjadi kenyataan pada hujung Disember lalu.





Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-kanak itu juga mengakui kemasukannya sebagai seorang Islam banyak didorong keluarga angkatnya yang membantu memahami Islam secara lebih mudah dan berkesan.

“Saya ada keluarga angkat Melayu, mereka banyak membantu saya paham Islam. Saya kini boleh fokus mempelajari Islam dan beramal ibadah dengan lebih tekun,” katanya yang belum berkahwin walaupun telah berusia 67 tahun.

Beliau yang melafaz kalimah dua syahadah pada Majlis Syahadah di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam juga bercadang memperoleh taraf penduduk tetap di Malaysia. Semoga Allah merahmati beliau.

0 comment... add one now