Apakah Hukum Memakai Contact Lens Ketika Berpuasa?

Soalan:

"Assalamualaikum Ustaz, saya ingin perihal penggunaan contact lens ketika puasa, adakah sah puasanya?? Dan lagi satu, bolehkan seseorang itu menggunakan contact lens sekadar pakai suka-suka?"




Jawapan:

Antara sebab kenapa pakai kanta lekap:

1. Sebab perubatan: iaitu ia memakainya sebagai ganti cermin mata kerana rabun. Hukumnya adalah harus dengan syarat tidak mendatang mudarat kepada mata.

2. Sebab perhiasan: iaitu memakainya sekadar suka-suka, bukan kerana keperluan. Ia masuk dalam hukum perhiasan. Perhiasan diharuskan selagi tidak melanggar batasan Syara, iaitu;
a) Tidak mendedahkan aurat dan berlaku tabarruj
b) Tidak mendatangkan fitnah iaitu menimbulkan ghairah orang lain.
c) Tidak mengubah ciptaan Allah.
d) Tidak berupa penipuan atau pemalsuan.
e) Tidak memudaratkan
f) Tidak berlebihan.
g) Tidak menyerupai perbuatan orang kafir

Merujuk kepada syarat-syarat di atas, sebahagian ulamak telah memfatwakan haram memakai contact lens yang berwarna kerana ianya mengubah ciptaan Allah, berupa penipuan dan meniru perbuatan orang kafir di samping ia memudaratkan sebagaimana disahkan oleh para doctor sendiri.Selain itu juga bagi perempuan, ia boleh menimbulkan fitnah iaitu mencuri perhatian lelaki kepadanya.[a]

Berkenaan penggunaan contact lens semasa berpuasa; ia tidak menjejaskan ibadah. Menurut ulamak memasukkan sesuatu ke dalam mata tidaklah membatalkan puasa.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. Fatwa Syeikh Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin (http://www.ibn-jebreen.com/).
2. Fatwa Syeikh Mohammad Soleh al-Munajjid (http://islamqa.com/).
3. Fatwa Syeikh Dr Ahmad al-Hija al-Kurdi (http://www.islamic-fatwa.com/)

Nota hujung;
[a] Antara mereka ialah Syeikh Dr. Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin. (Lihat laman web beliau; http://www.ibn-jebreen.com/). Ada ulamak mengharuskannya untuk lelaki sahaja. Adapun wanita, tidak harus melainkan di hadapan suami dan mahram sahaja. Namun keharusan itu dengan syarat tidak mendatangkan mudarat. (Lihat; fatwa Syeikh Dr. Dr Ahmad al-Hija al-Kurdi (http://www.islamic-fatwa.com/)). Mengenai dakwaan mengubah ciptaan Allah –yang dihujjah oleh ulamak yang mengharamkannya kerana factor tersebut-, dijawab oleh ulamak ulamak-ulamak yang mengharuskannya; ia tidaklah dapat dikatakan mengubah ciptaan Allah kerana dapat ditanggalkan, yakni perubahan yang berlaku pada mata kerana contact lens itu tidaklah kekal sebagaimana tatu, sebaliknya dapat ditanggalkan. (Lihat fatwa Syeikh Ibnu ‘Uthaimin; http://www.denana.com/fatawa/articles.aspx?selected_article_no=1494).

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
  

0 comment... add one now